myUMNO Memudahkan Pendaftaran Ahli, Mesra Gen-Z
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Sistem pendaftaran ahli baharu menerusi laman web myUMNO dilihat sebagai langkah progresif dalam memperkukuh pendekatan digital parti, khususnya dalam menarik minat generasi muda untuk menyertai UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor berkata, sistem tersebut menawarkan proses pendaftaran yang lebih pantas, selamat dan mesra pengguna selaras dengan gaya hidup digital masa kini.

“Sistem ini sangat pantas dan selamat. Para pemohon akan memperoleh kelulusan dalam tempoh 24 jam. Ia turut dilengkap dengan sistem canggih iaitu pengesahan wajah (liveness verification).
“Ia turut menjamin keselamatan data peribadi para pemohon. Selepas permohonan tersebut diluluskan, nombor ahli secara digital akan terus dihantar ke e-mel masing-masing.
“Selain itu, sistem ini sifar birokrasi. Pemohon tidak perlu lagi hadir ke kaunter pendaftaran untuk mengisi borang secara fizikal. Ia lebih telus, berpusat dan sampai terus ke Ibu Pejabat UMNO,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tambahnya, sistem pendaftaran tersebut direka khas selaras dengan arus perubahan digital semasa, selain menawarkan kad keahlian yang mempunyai pelbagai fungsi untuk kegunaan harian.

“Saya melihat platform pendaftaran baharu ini mesra Gen-Z dan juga milenial. Ia direka khusus mengikut gaya hidup digital hari ini. Lebih 70 peratus pendaftar baharu adalah golongan muda yang inginkan perubahan pantas.
“Di samping itu, Ibu Pejabat UMNO turut menawarkan kad keahlian yang mempunyai pelbagai fungsi. Ia bukan sekadar kad biasa. Naik taraf kepada kad fizikal dengan fungsi Touch ‘n Go untuk kegunaan harian seperti tol, parking dan pengangkutan awam.
“Sertai UMNO hari ini. Daftar sekarang di myumno.org,” katanya lagi.
UMNO merekodkan sebanyak 13,954 keahlian baharu melalui sistem pendaftaran dalam talian setakat 2 Mei 2026.
Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 60 peratus pendaftaran didominasi oleh golongan anak muda dan mereka yang berumur di bawah 40 tahun.
Saluran pendaftaran secara atas talian itu mula dibuka pada 20 April lalu. – UMNO Online
