Cukup-cukuplah Biadap, Henti Main Api Isu Perlembagaan – Aliff Hilmi
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pemuda UMNO Malaysia memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Dap, Tony Pua yang dilihat semakin biadab dan kurang ajar.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi menempelak sikap Tony Pua itu yang melampaui batas serta cuba mengheret rakyat untuk mempersoalkan asas-asas utama negara yang selama ini dipelihara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Cukup-cukuplah… jangan sesekali menjadi biadap, kurang ajar dan menganggap sikap sabar dan berhemah orang Melayu serta institusi yang mempertahankan kestabilan negara sebagai kelemahan.
“Pemuda UMNO akan terus berdiri gah di barisan hadapan serta mempertahankan institusi Raja-raja Melayu, kesucian agama Islam dan kedudukan orang Melayu serta Bumiputera yang termaktub jelas dalam Perlembagaan.
“Pemuda UMNO tidak akan tunduk, tidak akan diam dan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak menghina asas negara ini tanpa tentangan yang tegas. Pantang dicabar maruah bangsa, pantang digadai kedaulatan negara,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera menegaskan apa yang lebih membimbangkan, isu berkaitan 3R kini semakin kerap berlaku.
“UMNO tidak akan sesekali berkompromi isu 3R iaitu Agama, Raja dan Bangsa. Walaupun berkali-kali dicuit, diprovokasi dan diperlekehkan oleh kelompok tertentu yang seolah-olah semakin berani menguji tahap kesabaran rakyat Malaysia.
“Kenyataan tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘terlepas cakap’ ataupun ‘salah faham. Rakyat boleh menilai sendiri bahawa tindakan seperti ini kelihatan semakin tersusun, disengajakan dan dilakukan secara berulang kali untuk menguji kesabaran dan reaksi rakyat sedikit demi sedikit.”
Tegas beliau lagi, jika hari ini institusi Raja dipersoalkan secara terbuka, tidak mustahil esok lusa dan apa lagi yang akan cuba dicabarnya. – UMNO Online
