UMNO Terus Jadi Sasaran, Namun Jasa Kepada Negara Tidak Boleh Dinafikan – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 20 Mei – UMNO menegaskan bahawa parti itu sering menjadi sasaran kritikan dalam landskap politik semasa, namun jasa serta sumbangannya terhadap pembangunan negara tidak wajar dinafikan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata pelbagai tuduhan dan tohmahan sering dilemparkan terhadap parti tersebut terutama ketika berlaku isu melibatkan pentadbiran atau kegagalan tertentu.

“Bila gagal, nama UMNO yang dituduh, ratapan UMNO yang dijaja di atas pentas ceramah. Tetapi apabila kita melihat sekeliling, banyak kemajuan dan pembangunan hari ini adalah hasil jasa UMNO,” katanya mengulas berkaitan pelbagai isu semasa yang berlaku sekarang ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut menegaskan rakyat perlu menilai secara adil sejarah perjuangan UMNO sejak sebelum merdeka, termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan infrastruktur, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Dalam hal ini beliau juga menyorot kembali berkaitan kejayaan Konvensyen UMNO ke-80 yang turut menjadi medan kepada pimpinan dan perwakilan parti membincangkan sejarah perjuangan, cabaran semasa serta hala tuju masa depan parti.
“Ketika wakil Negeri Sembilan mengambil pentas, seluruh dewan seakan tertumpu kepada ucapan yang turut menyentuh krisis semasa politik negeri tersebut. Para perwakilan hadir bukan sekadar mahu mendengar ucapan, tetapi ingin memahami mengapa UMNO mengambil keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Sehinggalah konvensyen hampir melabuhkan tirai, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal tersusun, tenang dan jelas membawa mesej perjuangan menuju 100 tahun usia UMNO.
“Perbahasan yang dibawa bukan soal dendam politik sempit atau gerak kerja pilihanraya tetapi menyentuh masa depan bangsa Melayu untuk 20 tahun akan datang,” katanya.
Tegasnya, tidak kedengaran Presiden UMNO menggunakan pentas itu untuk menjerit, menghina atau menyerang sesiapa kecuali akan menggunakan saluran yang sepatutnya berbincang dengan rakan dalam kerajaan Persekutuan.
“Itulah bezanya politik yang matang dengan politik yang hanya hidup atas sorakan sementara.” – UMNO Online
