Tony Pua Bagai ‘Kaduk Naik Junjung’, Lupa Adab Dan Batas – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Dap, Tony Pua yang mempersendakan titah Sultan Selangor, pada Selasa.

Menyifatkan Tony Pua sebagai ‘kaduk naik junjung’, Dr Asyraf berkata tindakan tersebut tidak boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara, sebaliknya satu perbuatan biadab.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Apabila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Selasa, Tony Pua menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berpelembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ujarnya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Ini kerana menurut beliau, undang-undang digubal di Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri oleh wakil yang dipilih rakyat.

Tambah beliau, semua perkara tersebut adalah selaras dengan Rukun Negara khususnya prinsip 2,3 dan 4 yang menyebut Kesetiaaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Hantaran beliau merupakan respons kepada titah Duli Maha Mulia (KDYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor khususnya ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO, Ronnie Liu untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda bertitah, kunjungan ke plak monumen itu penting untuk mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara, yang mana segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO