Sultan Selangor Saran Pemimpin Dap Fahami Prinsip Rukun Negara
SHAH ALAM, 19 Mei — Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini menyarankan dua pemimpin Dap supaya lebih memahami serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara demi menghormati Institusi Raja dan memelihara adab kesopanan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, baginda bertitah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wong Siew Ki serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew datang sendiri ke Dataran Selangor bagi membaca dan memahami kandungan Rukun Negara yang dipaparkan pada Plak Monumen Rukun Negara.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Menurut baginda, pembinaan plak monumen tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Selangor termasuk penyediaan tempat duduk untuk pengunjung, dengan kos pembinaan dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.
Baginda bertitah, pembinaan monumen itu bertujuan mengingatkan rakyat khususnya generasi muda mengenai sejarah pembentukan Rukun Negara yang lahir selepas tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara. Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,” titah baginda.
Baginda turut menjelaskan bahawa konsep Rukun Negara diwujudkan hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sultan Sharafuddin turut berharap orang ramai yang mengunjungi Dataran Selangor dapat menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara yang menjadi tunjang perpaduan nasional.
Selain itu, baginda menyeru semua wakil rakyat Negeri Selangor supaya meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk datang membaca dan memahami kandungan Rukun Negara yang tertera pada monumen berkenaan. – UMNO Online
