Kestabilan Politik, Ekonomi Dan Kesejahteraan Rakyat Agenda Utama Johor – Fuad Tukirin

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Dr Mohd Fuad Tukirin menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan bahawa BN Johor bersedia untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, pendirian ini mencerminkan keyakinan serta kesungguhan BN Johor untuk terus membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Johor.

“Sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan BN Johor, pelbagai inisiatif pembangunan berjaya dilaksanakan demi manfaat rakyat termasuk pembangunan infrastruktur, agenda kebajikan rakyat, pemerkasaan pendidikan, pelaburan berkualiti, pembangunan belia serta pelaksanaan agenda ‘Maju Johor’ yang semakin diyakini rakyat.

“Kami percaya bahawa kerajaan yang stabil dan berpandangan jauh amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Kestabilan politik bukan sahaja menjadi asas kepada keyakinan pelabur, malah memastikan setiap agenda pembangunan, kebajikan rakyat serta perancangan Maju Johor dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan demi masa depan rakyat Johor,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa seluruh jentera dan kepimpinan BN akan terus perkukuhkan gerak kerja serta terus mendekati rakyat.

“Insya-Allah… seluruh jentera dan kepimpinan BN Johor akan terus memperkukuhkan perpaduan, memperkemaskan gerak kerja dan mendekati rakyat dengan semangat kebersamaan demi memastikan Johor terus maju, stabil dan makmur.

“Muafakat, Stabil dan Maju’ bukan sekadar slogan, tetapi komitmen perjuangan kami untuk rakyat Johor,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri terus terpelihara.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO dan BN Johor serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

Untuk rekod, BN mencatat kemenangan besar pada PRN Johor 2022 apabila berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO