‘Dari Dulu Nak Kuburkan UMNO/BN, Tapi Bergantung Harap Pada Parti Ini’
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh menegaskan bahawa gerakan untuk melemahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi sesuatu yang boleh disorokkan kerana hakikatnya memang wujud kelompok yang sejak dahulu menyimpan agenda untuk melihat parti ini lenyap terus daripada peta politik negara.
Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijadikan medan ujian terbesar untuk memecahkan benteng terakhir kekuatan UMNO/BN kerana pihak lawan sedar Johor bukan sekadar sebuah negeri, tetapi simbol maruah, sejarah dan akar perjuangan UMNO sejak sekian lama.
Ujarnya, jika UMNO/BN Johor berjaya ditumbangkan, mereka mahu rakyat percaya bahawa parti ini sudah tamat riwayat politiknya dan tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.
“Sebab itu serangan dibuat habis-habisan dengan memainkan persepsi, memecah-belahkan akar umbi, menyerang pemimpin setiap hari dan menanam kebencian terhadap BN seolah-olah adalah musuh utama rakyat.
“Mereka bukan sekadar mahu menang pilihan raya, tetapi mahu rakyat menolak UMNO/BN secara total demi membuka jalan kepada dominasi politik mereka.
“Tetapi mereka silap membaca denyut nadi rakyat Johor. Akar umbi BN di Johor bukan dibina sehari dua. Ia dibina puluhan tahun bersama rakyat di waktu susah, waktu bencana, waktu ekonomi jatuh, waktu orang lain hanya tahu berpolitik di media sosial,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menjelaskan, ketika rakyat berdepan kesusahan, bencana, kejatuhan ekonomi dan pelbagai cabaran hidup, jentera UMNO/BN sentiasa berada di hadapan membantu rakyat tanpa mengira waktu.
“BN di Johor bukan parti bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya. Akar perjuangan ini dibina sejak sekian lama bersama rakyat di kampung, Felda, bandar dan setiap pelosok negeri.
“Waktu orang lain sibuk bermain persepsi di media sosial, UMNO/BN tetap turun padang menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan situasi politik hari ini sebagai satu ironi besar apabila ada pihak yang begitu lantang melaungkan slogan mahu ‘menguburkan UMNO’, namun akhirnya terpaksa bergantung kepada UMNO untuk terus kekal berkuasa di Putrajaya.
“Itu membuktikan satu perkara yang rakyat tidak boleh nafikan. Sebesar mana pun propaganda dibuat, realitinya kekuatan UMNO/BN masih gagal digantikan.
“Malah hari ini mereka yang kononnya mahu menghapuskan UMNO akhirnya terpaksa bergantung kepada kekuatan UMNO dan BN untuk memastikan kestabilan kerajaan dapat terus bertahan,” katanya lagi.
Tambah beliau, rakyat Johor perlu sedar bahawa perjuangan mempertahankan BN bukan lagi soal mempertahankan sebuah parti semata-mata, tetapi demi memastikan kestabilan negeri tidak dihancurkan oleh permainan politik pihak tertentu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.
“Kekalkan kestabilan yang dibina, kepimpinan yang bekerja dan kerajaan yang faham denyut nadi rakyat, bukannya politik dendam dan eksperimen kuasa yang hanya merugikan masa depan negeri.
“Untuk Johor yang lebih baik, pilih UMNO, pilih BN,” tegasnya. – UMNO Online
