‘Jangan Label Pendirian UMNO Johor Sebagai Ugutan Politik’

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin mempersoalkan dakwaan ugutan yang dilemparkan pihak tertentu kepada UMNO Johor selepas mengumumkan untuk bertanding di keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong berkata tindakan memperkecil kepimpinan negeri Johor disebabkan perbezaan usia juga tidak wajar hanya kerana menyatakan pendirian untuk bergerak solo pada pilihan raya.

“Jangan hanya kerana umur berbeza dengan kepimpinan negara di Johor yang muda-muda ini diperkecilkan. Jangan kerana kita ada pendirian dan pendekatan yang berbeza itu dilihat sebagai ugutan.

“Apabila Johor ada pendirian dan juga ada keputusan yang tersendiri dalam mengumumkan kedudukan politik pada hari ini takkan lah itu dilihat sebagai mengugut,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Mengulas lanjut Hafiz berkata, pentadbiran kerajaan negeri Johor memainkan peranan besar dalam merancakkan ekonomi selain menjadi antara penyumbang penting kepada pembangunan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, ia dibuktikan apabila Johor menyumbang sekitar 25 peratus daripada keseluruhan RM426 bilion hasil ekonomi negara, sekali gus membuktikan negeri itu bukan sekadar penerima pembangunan tetapi turut menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia.

“Dalam suasana ekonomi yang tidak bagus ini terutamanya subsidi banyak dihapuskan, kuota banyak dikurangkan, kos sara hidup semakin meningkat. Di Johor kita bantu beri Bantuan Kasih Johor kepada 42 kluster hampir 200 juta disalurkan melalui ini. Untuk bantu juga menampung apa yang kurang disebabkan tekanan yang dihadapi oleh kerajaan Persekutuan

“Apabila ada aduan-aduan di fasiliti awam di CIQ, masjid, hospital, jalan raya, lebuh raya ‘budak-budak’ ini yang turun bantu dan tidak hanya bergantung kepada agensi Persekutuan semata-mata dan ‘budak-budak’ ini jugalah yang ada di masjid, surau melalui program Semarak Subuh mendoakan negara, negeri,” katanya.

Terdahulu Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri terus terpelihara.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO dan BN Johor serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

Untuk rekod, BN mencatat kemenangan besar pada PRN Johor 2022 apabila berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO