Keputusan Bertanding Semua Kerusi Adalah Untuk Kekalkan Kestabilan Politik – Pemuda BN Johor

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin keputusan untuk parti itu bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas keperluan mengekalkan kestabilan politik yang sedang dinikmati negeri itu pada ketika ini.

Menerusi kenyataan bersama yang dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, Ketua Pemuda MCA Negeri Johor, Heng Zhi Li dan Ketua Pemuda MIC, Mohan Arunachalam, mereka berpandangan bahawa ia merupakan amalan biasa dalam sistem demokrasi matang.

“Pemuda BN Johor menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi BN Johor pada Sabtu, 16 Mei 2026 bahawa BN Johor bakal bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Ketetapan untuk bertanding di semua kerusi merupakan amalan biasa dalam mana-mana sistem demokrasi yang matang. Mana-mana parti atau gabungan yang sedang memerintah sememangnya bertanggungjawab menawarkan diri semula kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu bagi terus mentadbir kerajaan.

“Sebaliknya, sesuatu yang amat janggal dan tidak masuk akal sekiranya parti penyandang sendiri kelihatan teragak-agak, tidak yakin atau tidak bersedia untuk mempertahankan kerajaan yang ingin terus dipimpin,” katanya.

Jelas kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri Johor pada ketika ini lahir daripada mandat rakyat dan bukannya terbentuk hasil gabungan politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Justeru, Pakatan Harapan (PH) Johor dan mana-mana parti dalam gabungan tersebut tidak sepatutnya merasa terkilan, marah apatah lagi mendakwa kononnya berlaku pengkhianatan terhadap mereka susulan keputusan BN Johor ini.

“Hakikatnya, Kerajaan Negeri Johor hari ini bukan terbentuk hasil gabungan politik pasca pilihan raya ataupun rundingan pembahagian kuasa, tetapi lahir daripada mandat jelas rakyat Bangsa Johor dalam PRN Johor 2022 yang memberikan kemenangan besar kepada BN.

“Dalam semangat demokrasi yang sihat, Pemuda BN Johor turut mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN. Biarlah rakyat sendiri membuat penilaian dan menentukan pilihan mereka melalui proses demokrasi yang terbuka serta matang,” jelas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, mereka turut menzahirkan keyakinan bahawa BN Johor bakal kekal sebagai formula terbaik untuk mengemudi kerajaan negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Inilah demokrasi sebenar – rakyat diberikan pilihan, parti diberikan ruang bertanding, dan mandat ditentukan sepenuhnya oleh pengundi.

“Pemuda BN Johor yakin keputusan untuk bertanding di semua kerusi dibuat atas keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik yang sedang dinikmati Negeri Johor ketika ini, meneruskan rekod pencapaian baik kerajaan negeri, memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat dan memastikan kesinambungan pelan masa depan Johor yang sedang direncanakan.

“Kami juga percaya bahawa BN Johor kekal sebagai formula terbaik untuk terus mengemudi kerajaan negeri dalam PRN akan datang demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” kata kenyataan lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO