UMNO Negeri Sembilan Nafi Khianati PH, Tegas Pertahan Institusi Raja

SEREMBAN, 18 Mei – UMNO Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa parti itu mengkhianati Pakatan Harapan (PH) dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, tindakan parti menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun bukan bermaksud mengkhianati hubungan politik yang telah terjalin.

“Suarakan pandangan, keresahan dan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar bukan bermakna kita khianat.

“Kita hanya mempersoalkan bagaimana beliau menguruskan krisis yang melibatkan institusi raja. Itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Aminuddin pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang menyifatkan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap beliau sebagai satu bentuk pengkhianatan.

Menurut Mustapha, pendirian UMNO Negeri Sembilan dalam isu melibatkan institusi raja dan adat sebelum ini bukan bertujuan menggugat kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata hubungan antara UMNO dan PH dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini berjalan dalam keadaan baik.

“Kalau kita khianat, kita tidak lagi berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menegaskan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam menstabilkan politik Negeri Sembilan apabila menyumbang 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, PH pula diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan lima kerusi dan DAP sebanyak 11 kerusi.

Mustapha turut mendakwa Aminuddin mungkin berdepan tekanan susulan situasi dalaman PKR ketika ini termasuk tindakan Rafizi Ramli keluar parti.

Mengulas kenyataan Anthony Loke bahawa Dap bersedia bertanding di kesemua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, beliau berkata UMNO-BN juga akan mengambil langkah sama sekiranya PH membuat keputusan sedemikian.

“Fokus kita sekarang adalah menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO