UMNO Pekan Parit Yaani Kemuka Tiga Usul, Terus Terima Ahli Baharu
KUALA LUMPUR, 19 Mei – UMNO Cawangan Pekan Parit Yaani terus memperkukuhkan kedudukan di peringkat akar umbi apabila berjaya menerima 30 ahli baharu selain menaja semula sayap Pergerakan Puteri pada Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bagi tahun ini.
Ketua UMNO Cawangan Pekan Parit Yaani merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata perkembangan itu membuktikan UMNO di kawasan tersebut terus berkembang dan mendapat sokongan.
Menurut beliau, persidangan yang berlangsung di Pekan Parit Yaani turut membangkitkan tiga usul untuk dibawa ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading.
Katanya, usul pertama mendesak kepimpinan UMNO di semua peringkat membantah keputusan kerajaan yang membenarkan pelajar lepasan UEC memasuki universiti awam di negara ini.
Selain itu, persidangan turut mengemukakan usul supaya Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang selaras dengan pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Persidangan itu juga mengemukakan usul menyokong gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai teras penyatuan serta kebangkitan parti.
Najib berkata penerimaan ahli baharu dan pengukuhan sayap parti menjadi petanda positif kepada kesinambungan perjuangan UMNO di kawasan itu.
“Semoga UMNO terus subur di Parit Yaani,” katanya.- UMNO Online
