Keputusan BN Johor Bertanding Semua Kerusi Tepat Demi Kestabilan – Hasrunizah

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan menyambut baik dan menyokong spenuh kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO berkata, pendirian tersebut merupakan satu keputusan yang jelas, tegas dan berani demi memastikan Johor terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil, kuat serta mempunyai hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negeri.

“Di bawah kepimpinan Onn Hafiz, Johor berjaya muncul sebagai antara negeri paling ke hadapan dari sudut pelaburan, ekonomi, pembangunan infrastruktur, agenda perumahan rakyat serta pengurusan negeri yang progresif.

“Semua ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil perancangan yang bijak beserta keberanian membuat keputusan, kesepakatan pasukan serta hubungan pentadbiran yang kukuh demi kepentingan Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Hasrunizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, melihat keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN sebagai manifestasi keyakinan terhadap kekuatan jentera akar umbi selain membuktikan rekod pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik.

“Saya melihat keputusan ini sebagai manifestasi keyakinan terhadap kekuatan jentera akar umbi, pencapaian rekod pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik serta mendapat sokongan rakyat yang mahukan kesinambungan kestabilan politik di Johor.

“Rakyat hari ini semakin bijak menilai dan mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar bekerja demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri secara menyeluruh,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Onn Hafiz telah mengumumkan bahawa BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri terus terpelihara.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO dan BN Johor serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO