Program Jiwa Murni Madani Bina Kefahaman Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Program Jiwa Murni Madani mampu memperkukuhkan hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rakyat di samping membina kefahaman bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, ancaman pertahanan kini semakin kompleks termasuk melalui pendekatan hibrid.

“Pada Ahad saya merasmikan Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di FELDA Maokil, Labis, Johor.
“Program ini memperkukuh hubungan ATM dengan rakyat, menyantuni masyarakat dan membina kefahaman bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama.
“Ancaman hari ini tidak lagi tradisional atau terhad kepada ketenteraan semata-mata. Ia semakin kompleks termasuk pendekatan hibrid, serangan terhadap infrastruktur kritikal, penyebaran maklumat palsu, ancaman siber dan usaha memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kerajaan Madani telah memperuntukkan RM6 juta untuk pelaksanaan projek Program Jiwa Murni Madani di seluruh negara.
“Sebab itu, Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH perlu diterjemahkan daripada doktrin kepada pelaksanaan yang aktif, kelihatan dan dekat dengan rakyat. Rakyat bukan sekadar pemerhati, tetapi sebahagian daripada barisan hadapan pertahanan negara.
“Melalui program ini, kita mahu membina kerjasama sebenar antara anggota tentera dan masyarakat setempat melalui projek keperluan bersama seperti dewan dan kemudahan komuniti.
“Tahun ini, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan projek Program Jiwa Murni Madani di seluruh negara. Sebanyak 57 projek telah dikenal pasti, dengan RM3 juta bagi fasa pertama dan baki RM3 juta sedang diperhalusi bagi projek seterusnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Program Jiwa Murni Madani terus menjadi jambatan kebersamaan ATM dan rakyat.
“Hubungan erat ATM dan rakyat adalah asas penting keselamatan negara. Kekuatan negara bukan hanya pada keupayaan angkatan tentera, tetapi juga pada kesedaran, kesediaan dan kesepaduan rakyat mempertahankan kedaulatan negara.
“Semoga Program Jiwa Murni Madani terus menjadi jambatan kebersamaan ATM dan rakyat, membina daya tahan masyarakat serta memastikan Malaysia kekal aman, selamat dan berdaulat,” katanya lagi. – UMNO Online
