Perjuangan UMNO Dibuktikan Dengan Kerja, Pembinaan Institusi Untuk Anak Bangsa

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Perjuangan UMNO bukan sekadar retorik dan ia dibuktikan dengan kerja termasuk pembinaan pelbagai institusi untuk memperkasa anak bangsa, kata Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Ujarnya, pelbagai institusi telah dibina oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) sepanjang zaman pemerintahannya dari segi pendidikan, ekonomi dan juga agama.

“Hari ini kita semua berpeluang untuk menunaikan ibadah Haji. Semua layak. Negara Islam lain pun tidak ada institusi macam Tabung Haji ini. Inilah institusi yang UMNO bina untuk kemaslahatan dan kepentingan orang Melayu-Islam.

“Semua ini bukan untuk pemimpin UMNO tetapi untuk semua rakyat rasa. Kita tak ‘pilih bulu’. Tidak kisah penyokong dari parti mana sekali pun, tetap akan dapat merasai manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, UMNO juga komited untuk memperkasa pendidikan anak bangsa melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Inilah perjuangan UMNO. Untuk memperkasa pendidikan melalui MARA, UMNO membina pelbagai institusi. Melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM), terdapat 345 institusi yang sedang menunggu anak-anak kita.

“Apabila berlaku isu seperti Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi baru-baru ini, institusi apa yang menyediakan regulasi tertentu? Sebab itulah kita bina Majlis Agama Islam dan juga Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) supaya ada regulasi untuk menjaga tatacara dan tatakelola.

“Jadi, sekiranya tidak ada badan-badan seperti ini untuk memimpin, mana mahu datangnya regulasi, tatacara dan tatakelola untuk dijadikan panduan kepada mana-mana pihak yang tersasar dalam isu agama ini?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa hasil perjuangan UMNO tersebut masih dirasai oleh bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Sebab itu sampai hari ini, hasil perjuangan itu masih dirasai manfaatnya oleh bangsa dan rakyat. Politik boleh berubah… tapi jasa dan asas yang dibina tak boleh dipadam begitu saja. Bangkitlah UMNO demi rakyat!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO