Anak Muda Mahukan Peluang Pekerjaan, Masa Depan Johor Yang Lebih Terjamin
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar menyifatkan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai manifestasi kesiapsiagaan parti dalam meneruskan agenda kestabilan politik.
Menurut beliau, ini kerana rakyat Johor ketika ini lebih mengutamakan kestabilan dan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian berkesan terhadap isu-isu kehidupan harian rakyat.
“Pemuda UMNO Bahagian Segamat menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi BN Negeri Johor berhubung keputusan BN Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
“Kenyataan tersebut mencerminkan keyakinan serta kesiapsiagaan Barisan Nasional Johor dalam meneruskan agenda kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Di peringkat akar umbi, kami melihat rakyat Johor hari ini mengutamakan kestabilan, kepimpinan yang bekerja serta kerajaan yang mampu memberi penyelesaian kepada isu kehidupan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu Ferhad turut sama menyatakan tekad untuk terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati golongan muda agar mesej perjuangan dan aspirasi BN dapat difahami serta diterjemahkan kepada sokongan yang lebih menyeluruh.
Menyentuh berkenaan anak muda kata beliau golongan tersebut pada hari ini mahukan lebih banyak peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi yang mampan serta jaminan masa depan Johor yang lebih cerah dan berdaya saing.
“Anak muda khususnya mahukan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi yang mampan serta masa depan Johor yang lebih terjamin.
“Keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN bukan sekadar simbol kekuatan parti, tetapi merupakan komitmen jelas BN untuk terus menjadi sebuah gabungan yang bersedia memikul amanah rakyat dan mempertahankan kestabilan negeri Johor.
“Pemuda UMNO Bahagian Segamat akan terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, mendekati golongan muda serta memastikan mesej perjuangan dan aspirasi BN dapat diterjemahkan kepada seluruh rakyat Johor,” ujar beliau.
Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri terus terpelihara.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO dan BN Johor serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
Untuk rekod, BN mencatat kemenangan besar pada PRN Johor 2022 apabila berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UMNO Online
