Manndzri Seru Rakyat Tolak Politik Kebencian Menjelang PRN Johor Ke-16
KUALA LUMPUR, 18 Mei – UMNO Johor diseru terus diberi mandat memimpin negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan dakwaan terdapat pihak yang mahu “menguburkan” parti itu di negeri kelahirannya.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu menamatkan pengaruh UMNO di Johor disifatkan sebagai tidak wajar ketika parti itu masih mendapat penghargaan dan restu daripada Istana Johor.

Menurut beliau, UMNO yang ditubuhkan di Johor mempunyai sejarah besar dalam penyatuan bangsa dan pembangunan negara.
“Yang baik katalah baik, yang benar katalah benar. Mengapa kerana semata-mata politik, kalian tetap mahu menuba pemikiran Bangsa Johor untuk menolak kesejahteraan dan kemakmuran yang sedang dan akan dituai rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang pimpinan PH yang didakwa melaungkan hasrat untuk “mengkuburkan UMNO” di Johor.
Dalam pada itu, Manndzri mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan menyatakan pelbagai usaha di bawah gagasan “Maju Johor” telah memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan perancangan pembangunan secara konsisten menerusi Belanjawan Johor 2023 hingga 2026 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
“Pasukan Maju Johor walau tidak sempurna tetapi bersungguh mengotakan setiap inci janjinya kepada rakyat dan Bangsa Johor,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Johor menilai prestasi kerajaan negeri secara rasional dan tidak terpengaruh dengan retorik politik kebencian.
Menurutnya, rakyat perlu memilih kepimpinan yang mampu menunaikan janji serta membawa kestabilan dan pembangunan kepada negeri.
“Kita tidak bercadang menguburkan PH atau mana-mana parti dalam demokrasi negara ini, cuma kita mahu rakyat memilih pasukan yang benar-benar tulen mahu mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri,” katanya lagi.
Manndzri turut mengajak rakyat Johor supaya terus memberi sokongan kepada UMNO-BN pada PRN Johor akan datang demi kesinambungan agenda “Maju Johor”.
“Kita akan terus berdiri bersama Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
