HAWA Melaka Mahu Pasaran Gelap Vape Dibanteras Habis-Habisan – Haryaty

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah memandang serius perkembangan budaya vape yang semakin membimbangkan di negeri Melaka apabila gejala tersebut kini dilihat semakin rapat dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah moden, masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja serta peningkatan jenayah sosial yang meresahkan masyarakat.

Menurut beliau, perkara itu semakin membimbangkan selepas menghadiri Program Libat Urus Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka Tengah yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Dalam Negeri Melaka baru-baru ini.

Katanya, program berkenaan membuka mata banyak pihak mengenai ancaman sebenar penyalahgunaan dadah moden dan bahan terlarang yang kini semakin dekat dengan masyarakat khususnya golongan muda.

“Antara perkara yang sangat menyentuh perhatian saya ialah tayangan video berkaitan kes penyalahgunaan dadah ‘piu-piu’ yang menggunakan pod dan vape sebagai medium pengambilan bahan terlarang.

“Video tersebut memaparkan keadaan remaja yang berada dalam keadaan khayal, tidak sedarkan diri dan seolah-olah ‘zombie’ akibat ketagihan bahan berbahaya tersebut. Keadaan ini amat membimbangkan dan tidak boleh lagi dipandang ringan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, HAWA Melaka melihat vape pada hari ini bukan lagi sekadar isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah sintetik yang semakin agresif menyasarkan generasi muda.

“Mutakhir ini, Melaka sendiri menyaksikan beberapa insiden serius yang membuktikan keadaan semakin membarah. Antaranya kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM86.78 juta melibatkan makmal haram dadah sintetik jenis MDMA di Melaka Tengah.

“Selain itu, masyarakat turut dikejutkan dengan kes pembunuhan di Merlimau yang dilaporkan berpunca daripada pertikaian berkaitan cecair vape berperisa ‘mushroom’. Perkara ini menunjukkan bahawa budaya vape kini semakin berkait rapat dengan elemen jenayah dan penyalahgunaan bahan berbahaya,” katanya lagi.

Dalam pada itu Haryaty juga Exco Wanita UMNO Malaysia turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penglibatan pelajar sekolah dengan vape susulan akses yang terlalu mudah termasuk melalui penjualan secara dalam talian dan pasaran gelap yang semakin sukar dikawal.

“Kita juga tidak boleh menafikan kesan terhadap kesihatan mental remaja, termasuk perubahan emosi, sikap agresif, ketagihan dan gangguan tingkah laku yang semakin ketara,” jelasnya.

Sehubungan itu, HAWA Melaka menggesa Kerajaan Negeri Melaka mempertimbangkan langkah lebih tegas termasuk mengharamkan penjualan vape di negeri ini demi melindungi generasi muda daripada ancaman dadah moden dan keruntuhan sosial.

“HAWA Melaka juga mencadangkan supaya; penguatkuasaan terhadap penjualan vape dipertingkatkan, penjualan secara online dan pasaran gelap dibanteras secara serius, program kesedaran diperluaskan di sekolah dan komuniti  dan peranan komuniti diperkasa dalam usaha pencegahan dadah dan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Saya percaya usaha membanteras gejala ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, sekolah, NGO, JPKK, institusi agama dan pemimpin masyarakat. Jangan tunggu sehingga vape menjadi budaya biasa dalam kehidupan anak-anak kita,” ujarnya.

Tegasnya, Melaka perlu berani mengambil langkah tegas sebelum keadaan menjadi lebih parah… komuniti perkasa, dadah tiada kuasa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO