BN Johor Bertanding Di Semua 56 Kerusi DUN Pada PRN Akan Datang – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri terus terpelihara.
Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO dan BN Johor serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
Jelasnya, pendirian tersebut mencerminkan kesediaan BN Johor untuk terus memikul amanah mentadbir negeri demi kepentingan rakyat dan masa depan Bangsa Johor.
“Saya mengambil maklum pandangan, suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor berhubung hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, langkah tersebut merupakan tawaran jelas BN kepada rakyat bahawa parti itu komited membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat serta berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya lagi.
Onn Hafiz turut menzahirkan doa agar negeri Johor sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi negeri Johor yang kita cintai ini,” ujarnya. – UMNO Online
