Hari Guru 2026: Wan Rosdy Sanjung Jasa Warga Pendidik

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membentuk generasi masa depan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, guru memainkan peranan amat besar bukan sahaja sebagai penyampai ilmu di bilik darjah, malah menjadi pembimbing, pencetus inspirasi dan pembina sahsiah anak bangsa.

“Selamat Hari Guru 2026 buat seluruh warga pendidik.

“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan ilmu yang dicurahkan dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, keikhlasan serta dedikasi para guru dalam mendidik anak-anak menjadi tunjang penting kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

“Guru bukan sahaja mendidik di dalam bilik darjah, malah menjadi pembimbing dan pencetus masa depan anak bangsa.

“Semoga semua guru terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan keberkatan dalam mendidik anak-anak demi agama, bangsa dan negara… Terima kasih cikgu,” ujarnya.

Untuk Rekod, Hari Guru disambut di Malaysia pada 16 Mei kerana tarikh tersebut bertepatan dengan peristiwa penting penerimaan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Penyata Razak) oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1956.

Laporan ini merupakan asas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menyatukan sistem pendidikan negara.

Sejarah ini menjadikan 16 Mei tarikh yang cukup signifikan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan para pendidik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO