‘Jangan Samakan Tahfiz Dengan UEC, Usah Kaburkan Fakta Demi Sentimen Politik’
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin menegaskan bahawa pelajar tahfiz tidak wajar disamakan dengan pelajar yang mengikuti sistem UEC.
Beliau berkata, perbandingan yang dibuat antara kedua-dua aliran pendidikan itu adalah tidak tepat kerana pelajar tahfiz di Malaysia masih berada dalam kerangka sistem pendidikan nasional
“Lucu bila Anthony Loke Siew Fook cuba samakan UEC dengan tahfiz seolah-olah keduanya berada dalam landasan yang sama.
“Tahfiz di negara ini tetap berada dalam kerangka sistem pendidikan nasional. Pelajar tahfiz masih menduduki SPM, STAM dan mengikuti silibus kebangsaan untuk melayakkan diri ke IPTA.
“Mereka masuk melalui pintu yang sama seperti anak-anak Malaysia lain dengan mengikut sistem negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nasrun yang juga Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju berkata, isu berkenaan bukan berkaitan sentimen kaum atau agama, sebaliknya menyentuh soal prinsip serta kedaulatan sistem pendidikan negara yang perlu dipertahankan.
Katanya, sekiranya mana-mana pihak menuntut hak yang sama dalam konteks pendidikan, maka laluan yang ditempuh juga sewajarnya selari dengan sistem nasional yang diguna pakai.
“UEC pula berbeza. Ia tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan dan tidak tertakluk kepada dasar pendidikan nasional sepenuhnya. Jadi jangan kaburkan fakta demi bermain sentimen politik.
“Ini bukan soal kaum atau agama. Ini soal prinsip dan kedaulatan sistem pendidikan negara. Kalau mahu hak yang sama, maka laluannya juga mestilah selari dengan sistem negara yang sama.
“Jangan samakan pengorbanan pelajar tahfiz yang bertungkus-lumus ambil SPM dan STAM dengan sistem yang memilih untuk berada di luar arus pendidikan kebangsaan. Itu penghinaan kepada usaha mereka,” ujar beliau. – UMNO Online
