Guru Nadi Bentuk Generasi Masa Depan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, di sebalik kejayaan seseorang sama ada sebagai doktor, jurutera, usahawan, pemimpin atau individu berjaya, pasti ada guru yang sabar mendidik dan membentuk peribadi mereka.

“Seorang guru mungkin tidak selalu disebut namanya tetapi jasanya sentiasa terpahat dalam kehidupan anak-anak didiknya.

“Dalam tegasnya ada kasih, dalam penatnya ada tanggungjawab dan dalam setiap ilmu yang dicurahkan, ada harapan besar untuk melihat anak bangsa berjaya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, tema sambutan Hari Guru 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”, mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan dan keikhlasan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara.

“Para guru adalah nadi yang menggerakkan kekuatan ilmu dan mencorakkan masa depan bangsa. Tanpa guru, tidak akan lahir generasi yang berilmu, beradab dan mampu memimpin negara ke arah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, bandar raya Ipoh, Perak menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO