Pemuda UMNO Tegas Tolak Sentimen 3R, Desak Siasatan Polis Terhadap Ahli Parlimen Pas
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Susulan kenyataan kontroversi Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam satu ceramah di Terengganu baru-baru ini, Pemuda UMNO seluruh negara tampil membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera dilakukan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Biro Agamawan Pemuda, Muhammad Fadlan Aiman Mhd Fadzy berkata laporan yang dilakukan bukan bersifat dendam namun bagi menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
“Laporan yang dilakukan bukan bersifat dendam, akan tetapi menyerahkan isu ini kepada yang berhak menilai dan menentukan apaa bila kami melihat dalam kenyataan itu ada terkait dengan undang-undang.
“Sebagai pengajaran yang boleh kita ambil seruan untuk semua terutamanya para pemuda sekalian agar menginsafi dan berhati-hati dengan apa jua nukilan atau kenyataan yang ingin disampaikan.
“Jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran buat kita jua agar lebih berhati-hati terutamanya apabila melibatkan tentang agama. Seruan juga buat semua pemuda untuk sentiasa beradab dengan kata-kata yang dilontarkan. Jangan menjadi pentaksub tanpa melihat dan menilai betul salah.
“Walaupun kenyataan maaf sudah dikeluarkan oleh beliau, kita juga menuntut tindakan undang-undang dikenakan disebabkan kenyataan yang mempunyai unsur 3R (raja, agama dan kaum),” katanya.
Beliau ketika dihubungi turut memaklumkan beberapa Pemuda UMNO bahagian turut sama melakukan laporan polis antaranya Permatang Pauh, Jasin, Sungai Buloh, Bangi, Alor Gajah dan Ipoh dan Pasir Puteh selain beberapa lagi laporan yang juga akan dilakukan pada hari ini dan esok.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Agamawan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Anas turut tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada semalam.
Menurut beliau kenyataan oleh Dr Nik Muhammad Zawawi disifatkan sebagai amat menggusarkan serta berpotensi menimbulkan salah faham berkaitan penghormatan terhadap para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Beliau turut menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik dan agamawan, agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama demi menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Bagi pandangan saya apabila ia melibatkan isu 3R suatu perkara yang kita tidak boleh main, tidak boleh dipolimikan dalam politik, soal agama khususnya perlu ditangani dengan penuh adab dan juga tanggungjawab.
“Maka hari ini Pemuda UMNO Malaysia berpandangan bahawa kenyataan seperti ini boleh mencetuskan kemarahan, ketegangan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara ini
“Kami berharap agar pihak polis dapat menangani kes ini penuh adil dan juga saksama. Hari ini kita boleh berbeza politik tetapi jangan sampai ianya melanggar batas agama,” katanya.
Terdahulu, tular petikan ucapan Dr Nik Muhammad Zawawi di media sosial yang menyentuh mengenai kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Dalam ucapan tersebut, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu didakwa menggambarkan Sayidina Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana dikatakan gemar memberi pinjaman kepada orang ramai serta menekan golongan miskin, manakala Sayidina Umar pula digambarkan sebagai berperwatakan keras dan ganas. – UMNO Online
