Semangat Perjuangan Terus Membara, UMNO Sabah Tekad Kukuhkan Perpaduan

KOTA KINABALU, 13 Mei – Mesyuarat Perhubungan UMNO Sabah yang berlangsung malam tadi bukan sekadar himpunan politik biasa, sebaliknya menjadi medan memperkukuhkan semangat perjuangan dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran demi masa depan rakyat serta negeri Sabah.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, mesyuarat tersebut turut mengimbau kembali semangat perjuangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkan sebagai pemimpin penuh keberanian, tegas dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Menurut beliau, roh perjuangan dan daya juang Allahyarham masih dirasai dalam kalangan kepimpinan serta akar umbi parti yang terus setia meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Mesyuarat malam tadi bukan sekadar pertemuan politik, tetapi menjadi simbol kekuatan perjuangan yang dibina atas pengorbanan, kesetiaan dan semangat tidak pernah luntur demi rakyat Sabah. Semangat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar terus menjadi inspirasi kepada kami untuk terus mara dengan penuh iltizam dan keberanian,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata UMNO telah memainkan peranan besar dalam membawa pembangunan serta kestabilan politik di Sabah sepanjang 35 tahun kewujudannya di negeri itu.

“Selama 35 tahun UMNO bertapak di Sabah, parti ini telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Kestabilan politik yang dibawa UMNO menjadi asas penting kepada kemajuan serta keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar dalam politik bukan hanya diukur melalui kuasa semata-mata, tetapi keupayaan untuk terus bersatu ketika berdepan cabaran, mendekati rakyat dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan.

“Apa yang penting ialah perpaduan dan kesungguhan untuk terus bersama rakyat. UMNO Sabah akan terus bergerak sebagai satu pasukan yang kuat dan bersatu demi memastikan masa depan Sabah lebih stabil, maju dan sejahtera,” ujarnya lagi.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri kepimpinan UMNO dari seluruh bahagian di Sabah yang memperlihatkan kesepaduan untuk terus komited memperkukuhkan parti serta memperjuangkan aspirasi rakyat di negeri itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO