Dr Zambry Hargai Pengorbanan Dan Dedikasi Warga Kerja KPT

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada semalam berbesar hati meraikan warga kementerian dalam Pentas Apresiasi Bintang dan Legasi KPT 2026.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia bagi menghargai warga kerja yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan dan kekuatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT.)

“Saya meraikan anugerah dan persaraan dengan menghargai insan-insan yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan dan kekuatan kementerian ini. Di sebalik setiap kejayaan KPT, ada pengorbanan, kesungguhan dan keikhlasan warga kerja yang berkhidmat tanpa mengenal lelah.

“Tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Seri Utama (AKSU), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

“Semoga penghargaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik buat agama, bangsa dan negara… yang penting teruskan semangat kerja secara berpasukan dan saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Zambry dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada pesara yang diraikan, khususnya Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aneese Ibrahim.

Katanya, segala jasa, kepimpinan dan pengorbanan Dr Aneese sepanjang perkhidmatannya di KPT amat besar serta meninggalkan legasi yang akan terus dikenang dan diteruskan.

“Seorang yang cukup tenang, cool tetapi sangat tegas dalam soal prinsip dan amanah. Terima kasih Datuk Dr Aneese atas segala bantuan, nasihat dan komitmen sepanjang kita bersama memimpin KPT.

“Terima kasih juga kepada Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Mantan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KPT atas segala sumbangan dan dedikasi sepanjang bersama KPT. Selamat maju jaya di tempat baharu dan semoga terus cemerlang dalam apa jua amanah yang dipikul selepas ini.

“Sesungguhnya, kekuatan sebenar KPT bukan hanya terletak pada dasar dan institusinya, tetapi pada manusia-manusia yang menggerakkannya dengan penuh jiwa dan amanah. Inilah akal budi nusa, inilah brain of the nation,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO