Sebanyak 18 Projek Rancangan Tebatan Banjir Sedang Giat Dilaksanakan – MB Pahang
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri itu sedang giat dilaksanakan.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai V. Arumugam A/L A Veerappa Pillai, berkaitan tahap perkembangan dan pelaksanaan projek-projek RTB di seluruh Negeri Pahang.

“Bagi projek RTB, sebanyak 18 projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13 dengan nilai kos keseluruhan berjumlah RM3.184 bilion dan sedang giat dilaksanakan di seluruh Negeri Pahang.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 projek yang telah bermula secara fizikal di tapak, enam projek yang masih dalam proses reka bentuk dan satu projek yang baru sahaja diluluskan dalam Rollling Plan Pertama (RP1), RMKe-13,” kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu hantaran di Facebook.
Hari ini merupakan hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Seterusnya ulas Wan Rosdy merangkap ADUN Jelai, kerajaan negeri akan terus memberi komitmen dan kerjasama penuh bersama Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat Negeri Pahang. – UMNO ONLINE
