UMNO Kota Melaka Pandang Serius Kenyataan, Jangan Manipulasi Keterbukaan
KOTA MELAKA, 12 Mei – UMNO Bahagian Kota Melaka memandang serius kenyataan yang cuba menggambarkan penubuhan cawangan Dap di Kampung Padang Temu sebagai satu ‘sejarah besar’ kononnya membuktikan masyarakat Melayu semakin menerima perjuangan parti tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata hakikatnya, penyertaan beberapa individu Melayu ini adalah mereka yang kecewa lalu menutup cawangan Parti Amanah Negara dan hanya salin kulit ke dalam parti Dap.
Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ini sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran bahawa keseluruhan orang Melayu telah menerima sepenuhnya ideologi dan perjuangan Dap.
“Rakyat hari ini lebih matang dalam menilai antara retorik politik dan realiti sebenar. UMNO ingin menegaskan bahawa masyarakat Melayu di negara ini sentiasa terbuka kepada demokrasi dan perbezaan pandangan politik.
“Namun, keterbukaan itu janganlah dimanipulasi untuk membina persepsi bahawa Dap kini menjadi “juara Melayu”, sedangkan rekod dan pendirian banyak pimpinan mereka sebelum ini sering menimbulkan keresahan terhadap perkara-perkara berkaitan kedudukan Islam, hak Melayu Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Razak seterusnya menambah UMNO Bahagian Kota Melaka juga berpandangan bahawa politik khidmat kepada rakyat bukanlah sesuatu yang baharu atau eksklusif kepada mana-mana parti dan UMNO sejak sekian lama telah berkhidmat dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, termasuk di kawasan majoriti Melayu, Cina dan India.
“Perjuangan UMNO bukan sekadar bermusim atau bersifat persepsi media sosial, tetapi terbukti melalui pembangunan, kestabilan dan pembelaan rakyat sejak merdeka.
“Kami menghormati hak mana-mana individu untuk menyertai parti pilihan mereka. Namun, Dap tidak wajar menggunakan angka keahlian atau sentimen “penerimaan Melayu” sebagai propaganda politik untuk menutup kegagalan mereka menangani isu kos sara hidup, ekonomi rakyat serta keresahan masyarakat terhadap masa depan negara.
“UMNO Bahagian Kota Melaka akan terus istiqamah mempertahankan agenda Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, di samping memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum secara sederhana dan harmoni.
“Orang Melaka khususnya di Kota Melaka dan Telok Mas tidak mudah terpedaya dengan naratif politik yang cuba mengaburkan identiti serta prinsip perjuangan sebenar sesuatu parti,” ujarnya. – UMNO Online
