Pengkelasan T20, M40 Dan B40 Perlu Dinilai Semula – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata kerajaan perlu menilai semula pengkelasan taraf hidup rakyat.

Katanya, pengkelasan T20, M40 dan B40 perlu dibuat berdasarkan realiti kos sara hidup dan lokasi, bukan semata-mata angka pendapatan kasar secara pukul rata.

“Kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai program untuk menaik taraf kehidupan rakyat. Namun malangnya, ramai akhirnya dibelenggu dengan sistem pengkelasan T20, M40 dan B40 yang digunakan secara pukul rata sehingga merugikan mereka sendiri, khususnya dalam soal subsidi dan bantuan.

“Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, ramai yang berjaya meningkatkan pendapatan hasil usaha dan peluang ekonomi. Tetapi apabila pendapatan melepasi syarat tertentu, mereka terus kehilangan pelbagai subsidi walaupun kos hidup sebenar masih tinggi,” kata Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, situasi demikian akhirnya akan membuatkan rakyat tersepit apabila pendapatan meningkat sedikit dan dalam masa bantuan ditarik.

“Akhirnya, rakyat tersepit, pendapatan naik sedikit tetapi bantuan ditarik, sedangkan beban sewa rumah, pengangkutan, pendidikan dan harga barang terus meningkat.

“Sistem ini seolah-olah menghukum rakyat yang cuba memperbaiki taraf hidup mereka,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO