UMNO Terus Teguh Harungi Cabaran Selama 80 Tahun – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menegaskan sejarah telah membuktikan UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang lahir daripada denyut nadi rakyat sejak lapan dekad lalu.

Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, beliau berkata kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesetiaan akar umbi yang terus bersama parti dalam apa jua keadaan sama ada ketika menghadapi cabaran mahupun saat mencapai kejayaan.

“Syabas buat semua akar umbi yang tetap setia sepanjang lapan dekad perjuangan ini di kala susah mahupun senang.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera dan penyokong yang tidak pernah jemu dan lelah untuk bersama UMNO selama 80 tahun ini,” katanya sempena sambutan Ulang Tahun Ke-80 UMNO.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang turut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti agar terus memperkukuhkan perpaduan serta merapatkan saf perjuangan demi memastikan UMNO terus kekal menjadi wadah utama rakyat.

“Marilah kita rapatkan saf, perkukuh perpaduan dan memastikan obor perjuangan UMNO ini akan terus menyala, Insya Allah.

“Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-80 UMNO. Hidup UMNO,” ujarnya.

Terdahulu, sambutan Ulang Tahun Ke-80 UMNO telah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru pada semalam.

Detik bersejarah itu membawa makna mendalam kepada perjalanan panjang UMNO yang lahir di Istana Besar pada 11 Mei 1946 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim menerusi Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.

Ia turut menggambarkan perjalanan sebuah parti yang telah melalui pelbagai cabaran zaman, namun terus berdiri sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO