Ulang Tahun Ke-80: UMNO Junjung Kasih Keberangkatan Agong, Perkukuh Perjuangan

JOHOR BAHRU, 11 Mei – UMNO merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat mencemar duli sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 UMNO di Istana Besar Johor di sini hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Tunku Mahkota Johor amat besar ertinya kepada seluruh keluarga besar UMNO dalam memperingati detik bersejarah penubuhan parti itu di Johor pada 11 Mei 1946.

“Sesungguhnya, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Amat Mulia Tunku amat besar ertinya kepada seluruh keluarga besar UMNO dalam memperingati detik bersejarah penubuhan UMNO di Johor pada 11 Mei 1946,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia hari ini.

Menurut beliau, UMNO turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan bagi sesi fotografi rasmi di Tangga Agung Istana Besar Johor yang menjadi lokasi bersejarah penyatuan orang Melayu dalam mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Katanya, sambutan ulang tahun ke-80 UMNO bukan sahaja mengimbau sejarah perjuangan lampau, malah menjadi simbol kekuatan kesatuan rakyat dan kestabilan negara.

“Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80 ini bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan lampau, tetapi menjadi peringatan bahawa kekuatan sesebuah bangsa terletak pada kesatuan rakyat, kestabilan negara dan kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara,” katanya.

Beliau berkata, selepas lapan dekad, UMNO kekal komited meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan asas-asas utama yang membentuk negara ini.

Dalam masa sama, beliau turut menjunjung kasih atas naungan, kebijaksanaan dan keprihatinan institusi Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi tonggak perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negara.

Mesyuarat MKT kali ini dilaksana di pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor seusai sesi bergambar dan majlis tahlil di Istana Besar. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat terbabit dengan kehadiran ahli-ahli MKT. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO