Imbau Sejarah… YDPA Serikan Sesi Fotografi Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan berangkat ke sesi fotografi sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80, sebentar tadi.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, baginda memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyambut keberangkatan tiba YDPA.
“Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Bagida (SPB) Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke sesi fotografi di Tangga Selat Istana Besar, Johor Bahru sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada hari ini (11 Mei).
“Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
“Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut oleh YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.
Tambahnya, sesi fotografi tersebut diadakan untuk mengenang sejarah penubuhan UMNO di Istana Besar, Johor pada 11 Mei 1946.
“Sesi fotografi ini diadakan untuk mengenang sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.
“Penubuhan parti ini menjadi salah sebuah lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union dan kemudian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa majlis tahlil dan doa selamat turut diadakan di Istana Besar bersempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80, pagi tadi.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan para pemimpin UMNO pelbagai peringkat Negeri Johor. – UMNO Online
