Kerajaan Negeri Johor Terus Komited Laksana Solusi Terbaik Demi Rakyat – Fazli Salleh
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri akan terus komited melaksanakan solusi terbaik demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Menurutnya, sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pelbagai isu rakyat telah dibangkitkan dan dijawab secara menyeluruh demi memastikan kebajikan, kesejahteraan serta pembangunan negeri terus menjadi keutamaan.

“Pada hari pertama, 4 Mei 2026, isu utama yang dibincangkan antaranya ialah bekalan air di Lok Heng, Waha dan Sedili susulan kemarau serius yang menjejaskan ribuan penduduk. Kerajaan Negeri bersama Ranhill SAJ telah melaksanakan tindakan segera seperti penghantaran lori tangki, pembenihan awan dan projek penambahbaikan sistem bekalan air bagi memastikan bekalan lebih stabil kepada rakyat.
“Turut disentuh ialah penggunaan utiliti negeri serta usaha memperkukuh pengangkutan awam termasuk KTM Komuter Selatan laluan Kulai–Johor Bahru sebagai persediaan menghadapi operasi RTS Link.
“Pada hari kedua pula iaitu pada 5 Mei 2026, saya menjawab berkenaan pemantauan projek pembangunan dan tindakan pemulihan projek sakit termasuk tender semula, pelantikan kontraktor penyelamat dan pemantauan berkala supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir itu, dalam masa sama penambahbaikan perkhidmatan myBAS dan Bas Muafakat Johor (BMJ) turut diperkasa bagi meningkatkan akses pengangkutan awam yang lebih cekap dan selesa.
Manakala hari ketiga, 6 Mei 2026 tambahnya, isu yang dibincangkan termasuklah berkenaan projek Muara Sungai Sedili Kecil yang dijalankan bagi membantu komuniti nelayan melalui kerja pengerukan muara dan perancangan jangka panjang bagi menjaga kelestarian sungai.
“Selain itu, persediaan trafik menjelang operasi RTS Link terus diperkukuh termasuk pelaksanaan lampu isyarat pintar, naik taraf persimpangan utama dan laluan kontra bagi mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru,” katanya. – UMNO ONLINE
