80 Tahun UMNO: Norliza Seru Terus Perkukuh Parti Demi Masa Depan
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menzahirkan ucapan Selamat Ulang Tahun UMNO ke-80 sambil menyifatkan perjalanan lapan dekad parti itu sebagai lambang perjuangan, pengorbanan dan kesetiaan demi agama, bangsa serta tanah air.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor berkata, sejarah panjang UMNO bukan sekadar catatan tahun demi tahun, sebaliknya merupakan perjalanan besar yang dibina hasil pengorbanan generasi terdahulu sehingga hari ini.

“Dari generasi terdahulu hingga hari ini, UMNO terus berdiri sebagai wadah yang menyatukan suara rakyat dan mempertahankan maruah bangsa,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun penubuhan UMNO hari ini.
Menurut beliau, kekuatan UMNO turut didukung oleh barisan pemimpin negara yang berwibawa termasuk pemimpin wanita yang menjadi tulang belakang perjuangan parti.
Katanya, golongan wanita hadir dengan kekuatan, kebijaksanaan serta semangat yang tidak pernah luntur demi memastikan UMNO terus utuh dan relevan dalam landskap politik negara.
“Dalam jatuh bangun perjuangan selama lapan dekad ini, UMNO terus melahirkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat, memahami denyut nadi masyarakat dan sanggup berkorban demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut berharap ulang tahun ke-80 UMNO menjadi titik kekuatan baharu untuk parti itu terus istiqamah memperjuangkan masa depan rakyat dan negara.
“Semoga ulang tahun ke-80 ini menjadi titik kekuatan baharu untuk UMNO terus relevan, kukuh dan istiqamah dalam memperjuangkan masa depan rakyat serta negara,” ujarnya. – UMNO Online
