RIMBUN 2.0 Jadi Medan Wacana Kedaulatan Ekonomi Negara – Syauqi
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerusi Biro Profesional Muda bakal menganjurkan program “RIMBUN 2.0: Kedaulatan Ekonomi Negara” sebagai platform perbincangan intelektual yang menghimpunkan tokoh kepimpinan serta pakar ekonomi bagi membincangkan cabaran dan hala tuju ekonomi negara.
Pengerusi Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata program tersebut menjadi antara usaha berterusan Pemuda UMNO dalam membawa suara anak muda dan golongan profesional untuk sama-sama terlibat dalam perbincangan berkaitan masa depan ekonomi Malaysia.
Menurut beliau, forum yang akan berlangsung pada Sabtu, 9 Mei 2026 itu bakal mengetengahkan pelbagai pandangan konstruktif melibatkan isu ekonomi semasa termasuk aspek kedaulatan ekonomi, cabaran global serta langkah memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.
“RIMBUN 2.0 bukan sekadar forum biasa tetapi satu medan untuk menghimpunkan idea, pandangan dan solusi daripada pelbagai pihak demi memastikan negara terus bergerak ke hadapan dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Pemuda UMNO mahu melihat lebih ramai anak muda, golongan profesional dan masyarakat umum tampil bersama menyumbang pandangan serta terlibat secara aktif dalam wacana pembangunan negara,” katanya kepada UMNO- Online, di sini, hari ini.
Program tersebut akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan penyertaan dibuka kepada orang ramai.
Beliau turut menyeru masyarakat khususnya generasi muda untuk hadir memeriahkan program berkenaan sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkukuhkan masa depan ekonomi Malaysia.
“Sila imbas kod QR pada poster… marilah kita bersama-sama memainkan peranan dan menyumbang idea demi memastikan ekonomi negara terus kukuh, berdaya saing serta mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online
