Jualan Kasih Johor Diperluas, 750,000 Keluarga Bakal Terima Manfaat

JOHOR BAHRU, 8 Mei — Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh usaha menangani kos sara hidup rakyat apabila menambah peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memperkasakan inisiatif Jualan Kasih Johor, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2026 sebanyak RM45.4 juta.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 750,000 keluarga Bangsa Johor melalui pelaksanaan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan kebajikan rakyat terus diutamakan, di samping memperkukuh kesejahteraan ekonomi Bangsa Johor secara menyeluruh,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut meneruskan pelaksanaan Jualan Kombo Kasih yang menawarkan pakej barangan asas pada harga RM15, merangkumi seekor ayam, sepapan telur dan minyak masak 2 liter.

Ujar beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu rakyat mengurangkan tekanan perbelanjaan harian.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Jualan Kasih Johor telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, dengan lebih RM26 juta diperuntukkan bagi menjayakan pelaksanaannya, sebagai langkah berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Bagi tahun 2026, pelaksanaannya akan diperluaskan kepada 336 lokasi di seluruh negeri Johor bagi memastikan capaian yang lebih menyeluruh dan inklusif, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat yang ditawarkan.”

Onn Hafiz juga berharap usaha berterusan ini dapat memberi manfaat besar kepada rakyat, selain memperkukuh kesejahteraan ekonomi negeri secara keseluruhan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO