Ternakan Babi Di Selangor: Henti Terus Politikkan Isu Dimuktamad Sultan

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin mengingatkan semua pemimpin di negeri tersebut untuk berhenti daripada terus mempolitikkan isu yang telah dimuktamadkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Ini kerana katanya, kenyataan media rasmi DYMM Sultan Selangor pada Khamis sekali lagi menegaskan bahawa isu penternakan babi di Negeri Selangor perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menjunjung titah dan menyambut baik kenyataan media rasmi DYMM Sultan Selangor bertarikh 7 Mei 2026 yang sekali lagi menegaskan bahawa isu penternakan babi di Negeri Selangor perlu dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya (full stop).

“Pemuda UMNO Selangor turut menyokong penuh kenyataan rasmi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor yang secara konsisten mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan serta menjunjung titah DYMM Sultan Selangor sejak awal isu ini dibangkitkan.

“DYMM Sultan Selangor bukan sahaja telah bertitah dengan jelas sebelum ini, malah pihak Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor turut tampil memperjelaskan kedudukan dan peranan Baginda dalam sistem Raja Berperlembagaan.

“Kini, Istana Selangor sekali lagi mengeluarkan kenyataan rasmi yang memperincikan faktor pencemaran, keselamatan sumber air, penggunaan tanah, keharmonian rakyat dan kepentingan negeri secara menyeluruh sebagai asas kepada pendirian Baginda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, mengecewakan apabila ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa titah DYMM Sultan Selangor hanya sekadar pandangan dan tidak wajib dituruti.

“Persoalannya, apa lagi cuba diperdebatkan oleh pihak tertentu yang masih dengan pelbagai cara dan usaha untuk terus membahas isu tersebut? Sepertinya ada pihak-pihak tertentu yang dilihat terus cuba memanjangkan polemik ini walaupun pendirian rasmi DYMM Sultan Selangor sudah begitu jelas dan dimuktamadkan sepenuhnya oleh pihak Istana sendiri.

“Lebih mengecewakan apabila masih ada pimpinan tertentu yang cuba memberikan gambaran seolah-olah titah dan pendirian DYMM Sultan Selangor hanyalah ‘pandangan’ yang boleh dipilih untuk dipatuhi atau diketepikan mengikut kesesuaian kepentingan politik mereka.

“Sikap berterusan seperti ini amat tidak bertanggungjawab terutamanya dalam soal menghormati institusi dan mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa isu tersebut melibatkan penghormatan dan pematuhan terhadap Institusi Raja, keharmonian dan perpaduan seluruh Rakyat Negeri Selangor.

“Pemuda UMNO Selangor ingin mengingatkan semua pemimpin baik dalam pentadbiran apa lagi dalam pimpinan politik, bahawa seluruh rakyat sedang memerhati.

“Segera hentikan daripada terus mempolitikkan isu yang telah dimuktamadkan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor dan bergerak ke hadapan dengan menjunjung penuh titah Baginda.

“Isu ini bukan lagi soal politik kepartian semata-mata. Ini melibatkan penghormatan dan pematuhan terhadap Institusi Raja, keharmonian dan perpaduan seluruh Rakyat Negeri Selangor.

“Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa kami akan terus berdiri teguh mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, menjunjung titah DYMM Sultan Selangor dan menolak sebarang cubaan pihak tertentu yang ingkar pendirian serta ketetapan muktamad DYMM Sultan Selangor, demi agenda atau kepentingan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO