Konvensyen UMNO Suntik Semangat Baharu, Wanita Perlu Jadi Penggerak Agenda Parti – Maizatul Akmam

LAHAD DATU, 8 Mei – Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu merangkap Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi menyifatkan kejayaan Konvensyen Ulang Tahun UMNO Ke-80 sebagai simbol kekuatan dan kesatuan parti dalam mendepani cabaran politik semasa demi memastikan UMNO terus kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat.

Beliau berkata, amanat Presiden UMNO pada konvensyen tersebut turut memberi penekanan kepada tiga agenda utama yang digariskan kepimpinan tertinggi iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Grand Collaboration.

“Tiga agenda ini merupakan pemangkin utama kepada keutuhan agama, bangsa dan tanah air. Ia menuntut komitmen dan gerak kerja holistik daripada seluruh barisan kepimpinan dan ahli di setiap peringkat cawangan, bahagian, perhubungan UMNO negeri sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi parti,” katanya berkaitan hal terbabit.

Menurut beliau, kejayaan konvensyen berkenaan membuktikan UMNO masih mempunyai kekuatan akar umbi yang utuh serta keazaman tinggi untuk memperkukuhkan parti menjelang cabaran politik akan datang.

Selari dengan itu, Maizatul Akmam menekankan agar Wanita UMNO memainkan peranan lebih proaktif dalam menjayakan ketiga-tiga agenda tersebut dengan menjadi penghubung utama antara parti dan rakyat.

“Wanita UMNO sentiasa menjadi tulang belakang perjuangan parti. Keupayaan wanita mendekati masyarakat dan memahami denyut nadi rakyat menjadikan sayap ini sangat penting dalam memastikan agenda parti dapat diterjemahkan secara berkesan di peringkat akar umbi.

“Rumah Bangsa misalnya memerlukan penyatuan masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lebih kukuh, manakala Musyawarah Nasional pula menuntut budaya politik matang dan inklusif. Dalam aspek Grand Collaboration, Wanita UMNO juga perlu bersedia memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kerjasama demi kestabilan politik negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta jentera Wanita UMNO yang memainkan peranan besar dalam menjayakan sambutan ulang tahun UMNO ke-80 menerusi pelbagai pengisian termasuk penganjuran nasyid dan forum yang mendapat sambutan memberangsangkan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wanita UMNO di semua peringkat yang bertungkus-lumus menjayakan program ulang tahun UMNO ke-80. Pengisian seperti nasyid dan forum bukan sahaja menyemarakkan sambutan, tetapi turut memberi nilai penghayatan terhadap perjuangan dan sejarah parti,” katanya.

Beliau berkata, semangat ulang tahun ke-80 itu perlu dijadikan pemangkin kepada kebangkitan baharu parti dengan memperkukuh perpaduan, disiplin dan kesiapsiagaan seluruh jentera terutama Wanita UMNO demi memastikan parti terus diyakini rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO