ADUN Lantikan: Pemuda UMNO Johor Sokong Penuh Pindaan Enakmen Negeri
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) pindaan enakmen negeri yang membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuat pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pindaan tersebut merupakan langkah reformasi institusi dan wajar disokong oleh semua pihak.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyokong penuh RUU pindaan enakmen negeri yang telah diluluskan oleh DUN Johor pada Khamis bagi membolehkan DUN Johor membuat pelantikan lima orang ADUN secara lantikan.
“Bagi Pemuda UMNO Johor, pindaan enakmen ini merupakan satu langkah reformasi institusi yang wajar disokong demi memperkukuh sistem demokrasi dan tadbir urus di Negeri Johor dengan lebih berkesan serta berpandangan jauh.
“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, DUN Johor memerlukan pengukuhan dari sudut kapasiti, keupayaan dan kedalaman perbahasan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, usaha tersebut penting untuk melengkapkan institusi legislatif negeri dengan kepelbagaian pandangan, pengalaman dan keupayaan.
“Pelantikan ADUN lantikan yang mempunyai pengalaman, datang daripada pelbagai latar belakang dan memiliki kepelbagaian kepakaran serta kewibawaan tertentu akan dapat menambah nilai kepada proses penggubalan dasar, memperkayakan perbahasan legislatif di samping meningkatkan mutu semak dan imbang dalam sidang DUN.
“Ikhtiar ini juga penting untuk melengkapkan institusi legislatif negeri dengan pandangan, pengalaman dan keupayaan yang dapat membantu DUN Johor supaya berfungsi dengan lebih efektif, cekap serta berwibawa dalam mendepani cabaran semasa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kewujudan lima orang ADUN lantikan diyakini mampu menyumbang kepada proses membuat keputusan yang lebih matang, seimbang dan berwawasan.
“Pemuda UMNO Johor sangat yakin Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited untuk memastikan setiap pembaharuan institusi yang diperkenalkan berteraskan prinsip akauntabiliti, keterangkuman dan kepentingan rakyat.
“Dalam konteks ini, kewujudan lima orang ADUN lantikan diyakini mampu menyumbang kepada proses membuat keputusan yang lebih matang, seimbang dan berwawasan.
“Sesungguhnya, demokrasi yang matang bukan hanya diukur melalui proses pilihan raya semata-mata, tetapi juga melalui kekuatan institusi, kualiti wacana dan keupayaan sistem untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman.
“Sehubungan itu, langkah ini merupakan satu pembaharuan yang tepat pada masanya ke arah membina Dewan Negeri Johor yang lebih kukuh, progresif dan berdaya saing demi masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat, sekaligus menyumbang kepada usaha memperkukuh sistem demokrasi di Negeri Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
