UMNO Kudat Fokus Perkukuh Parti Semarakkan Keahlian Baharu
KUDAT, 8 Mei – UMNO Bahagian Kudat terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi serta meningkatkan semula sokongan akar umbi termasuk menarik keahlian baharu dalam kalangan anak muda dan bekas ahli.
Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Harun Durabi berkata sambutan ulang tahun ke-80 UMNO menjadi simbol kekuatan dan kebangkitan semula parti walaupun berdepan pelbagai cabaran politik semasa.

“Walaupun UMNO diuji, kita dapat lihat semangat ahli masih kuat dan kehadiran yang ramai ini menunjukkan parti masih mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, ketika ini persidangan peringkat cawangan sedang berjalan di seluruh bahagian Kudat dan pihaknya berharap proses tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar sebagai asas memperkukuh struktur parti di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh keahlian menjadi fokus utama termasuk menerusi inisiatif “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Inisiatif Rumah Bangsa ini memberi kesan positif. Kita lihat ada bekas ahli yang kembali semula dan anak muda juga mula menyertai UMNO secara dalam talian,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, UMNO Bahagian Kudat akan terus mempergiat usaha mendekati rakyat serta merancang sambutan khas ulang tahun parti di peringkat bahagian sebagai usaha menghargai sumbangan UMNO kepada masyarakat.
“Kita akan terus berusaha memperkukuh bahagian ini dan memastikan UMNO kembali menjadi pilihan utama rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
