UMNO Negeri Sembilan Serah Isu Laporan Polis Kepada Pihak Berkuasa

SEREMBAN, 7 Mei — UMNO Negeri Sembilan mengambil maklum berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa untuk dinilai secara adil serta profesional.

Dalam satu kenyataan, UMNO menegaskan pendiriannya yang tetap menjunjung kasih serta menghormati DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, institusi diraja, institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan itu, laporan polis berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu utama iaitu dakwaan kegagalan mengurus krisis adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“UMNO tidak menyerang institusi. UMNO mempertahankan kemuliaan institusi daripada terus dijadikan bahan polemik akibat kelemahan pengurusan politik negeri,” menurut kenyataan tersebut.

UMNO Negeri Sembilan turut mempersoalkan mengapa krisis berkenaan dibiarkan berlarutan sehingga rakyat menjadi keliru dan institusi adat terheret ke dalam polemik terbuka.

Katanya, isu yang perlu dijawab bukanlah ucapan Datuk Seri Jalaluddin, sebaliknya dakwaan kegagalan mengurus krisis sehingga institusi adat menjadi polemik awam.

“Jangan jadikan laporan polis sebagai tirai untuk menyembunyikan kegagalan mengurus krisis. UMNO tidak pernah mempersoalkan institusi. UMNO mempersoalkan kepimpinan yang gagal melindungi institusi daripada menjadi krisis yang lebih besar termasuk campur tangan secara aktif oleh Menteri Besar,” katanya lagi.

Dilaporkan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak polis menyiasat, Datuk Seri Jalaluddin Alias ekoran didakwa menyentuh sensitiviti serta kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan dalam satu majlis parti politik.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO