Anak Muda Pilih UMNO Platform Perjuangan, Johor Penyumbang Terbesar Ahli Baharu
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Aznan Tamin menjelaskan UMNO kini kembali menjadi pilihan utama rakyat sebagai sebuah parti yang berpengalaman serta berupaya memimpin dengan efektif.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata, keyakinan rakyat terhadap UMNO semakin pulih, sekali gus membuktikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik negara.
“Dengan kembalinya UMNO sebagai pilihan rakyat dan parti yang sangat berpengalaman serta ‘empower’ dalam kepimpinan, saya mengharapkan rakyat terus menyokong UMNO. Kepada individu yang pernah meninggalkan parti ini, pintu sentiasa terbuka untuk kembali, bersempena ulang tahun UMNO ke-80 pada 11 Mei ini.
“Alhamdulillah, kini anak muda semakin sedar dan memilih UMNO sebagai wadah perjuangan. Sebenarnya, masih ramai lagi yang berminat untuk bersama UMNO.
“Sebagai pemimpin muda, saya melihat gelombang anak muda semakin berpusu-pusu menyertai parti ini. Negeri Johor pula muncul sebagai penyumbang terbesar ahli baharu UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Justeru beliau berharap agar momentum tersebut terus diperkukuhkan, khususnya melalui kemudahan pendaftaran baharu yang diperkenalkan.
“Dengan adanya sistem pendaftaran baharu ini, saya berharap anak muda akan terus cenderung memilih UMNO sebagai parti utama yang mampu membela dan melindungi masa depan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat menjelaskan bahawa golongan muda perlu melihat sendiri kekuatan serta ketahanan UMNO yang terus berdiri kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran dan persepsi.
“Kepada anak-anak muda, lihatlah organisasi UMNO yang kekal relevan walaupun sudah berusia 80 tahun. Walau apa jua kepincangan yang berlaku, UMNO tetap menjadi tunjang utama dalam membentuk dan memperkukuh pelbagai organisasi.
“Anak muda perlu menilai pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh UMNO. Pilihlah parti ini sebagai wadah perjuangan yang kekal serta mampu menjamin masa depan negara,” katanya lagi.
Menurut beliau, pencapaian yang ditunjukkan oleh barisan menteri UMNO, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri, membuktikan keupayaan parti itu mentadbir dengan berkesan.
“Apa yang dilaksanakan oleh menteri-menteri UMNO dalam kerajaan, sama ada di peringkat pusat atau negeri, jelas menunjukkan hasil dan kejayaan yang berada pada tahap tinggi,” ujarnya. – UMNO Online
