Keahlian Dalam Talian Pemangkin Pengukuhan UMNO Semua Peringkat – Harun Durabi

KUDAT, 28 April – Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Harun Durabi, menyifatkan pelaksanaan sistem pendaftaran keahlian secara atas talian oleh UMNO sebagai satu langkah progresif yang berjaya memperkukuh parti, khususnya dalam mendekati golongan muda dan masyarakat luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka berkata, inisiatif digital tersebut telah memudahkan proses pendaftaran ahli baharu serta membuka peluang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai perjuangan parti dengan lebih cepat dan teratur.

“Pelaksanaan keahlian secara dalam talian ini membuktikan UMNO sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa. Ia bukan sahaja memudahkan urusan, malah membantu memperluaskan lagi sokongan rakyat terhadap parti,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini juga meningkatkan kecekapan pengurusan data keahlian di semua peringkat, sekali gus memperkukuh organisasi parti dari akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan tertinggi.

Tambah beliau, penggunaan platform digital juga membolehkan parti berinteraksi dengan ahli secara lebih berkesan, termasuk penyampaian maklumat, program latihan serta penglibatan dalam aktiviti parti di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai penyertaan generasi muda yang celik teknologi untuk bersama-sama memperkukuh perjuangan parti.

“Dengan kemudahan ini, kita dapat memastikan suara ahli didengar dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus memperkasakan UMNO sebagai sebuah parti yang responsif dan inklusif,” ujarnya.

Terdahulu, Harun telah menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Kudat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua cawangan agar terus melaksanakan persidangan mengikut peraturan dan perlembagaan parti bagi memastikan perjalanan organisasi kekal tersusun dan berintegriti.

Mengulas isu kerusi Parlimen P167 Kudat, beliau berharap pucuk pimpinan dapat mempertimbangkan semula kedudukan kerusi tersebut agar dikembalikan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN), berdasarkan kekuatan tradisi parti di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyeru seluruh ahli agar terus setia dan komited dalam memperjuangkan agenda parti demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita yakin dengan kesatuan dan semangat ahli, UMNO akan terus relevan dan kekal sebagai wadah utama perjuangan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO