Pemuda UMNO Terengganu Kecam Tindakan Persenda Titah Pemangku Sultan, Gesa Tindakan Tegas

KUALA TERENGGANU, 27 April — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera, menyuarakan kekesalan terhadap tindakan seorang pemimpin Armada yang didakwa memuat naik kandungan bersifat sinis terhadap titah Pemangku Sultan Terengganu di media sosial.

Beliau mendakwa, Naim Brundage telah memetik sebahagian kecil daripada titah tersebut dan memuat naiknya di Facebook, sekali gus membuka ruang kepada reaksi negatif dalam kalangan netizen.

“Tindakan memetik hanya beberapa minit daripada titah Baginda tanpa konteks penuh telah mengundang komen yang tidak sepatutnya. Ini tidak mencerminkan intipati sebenar titah yang lebih penting untuk difahami rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Tengku Haphiz, tindakan tersebut juga dilihat tidak sensitif memandangkan ia melibatkan institusi diraja di negeri yang ditadbir oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Sebagai ahli dalam gabungan Perikatan Nasional, beliau seharusnya sedar bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap Raja adalah perkara serius, lebih-lebih lagi berlaku di negeri di bawah pentadbiran gabungan itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi negeri mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya berharap Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Menteri Besar Terengganu dapat bertindak tegas dan menunjukkan kepekaan terhadap isu ini,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Terengganu amat kesal dengan insiden berkenaan, khususnya dalam tempoh Pemangku Sultan baharu sahaja ditabalkan dan sedang menyesuaikan diri dengan peranan serta protokol rasmi.

“Baginda pastinya memerlukan sokongan semua pihak. Sebarang tindakan yang bersifat provokatif seperti ini amat tidak wajar dan dikesali,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO