Syed Johan Bidas Sanusi: Dakwaan UMNO Hadir Ketika Lemah, Siapa Perlukan Siapa?
KUALA LUMPUR, 27 April – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mendakwa UMNO hanya hadir untuk bekerjasama ketika lemah.
Ini kerana katanya, sejarah telah membuktikan bahawa beliau memerlukan UMNO pada satu ketika dahulu untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar Kedah yang disandang ketika ini.

“Janganlah apabila sudah kuat, mula berlagak dan bercakap sewenang-wenangnya. Sejarah beliau bermula dengan ‘merangkak’ untuk bertemu UMNO … untuk menjadi Menteri Besar.
“Tanyakan kepada beliau, malam sebelum angkat sumpah, beliau berada di rumah siapa? Dengan siapa beliau menghisap rokok? Dengan siapa beliau makan pulut durian? Tanyakan kepada beliau.
“Jika berani, beliau akan jawab. Saya cabar. Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa kerana kita mahu menjaga sensitiviti. Tetapi beliau tahu, saya tahu dan sebahagian daripada tuan-tuan juga tahu,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, perkara tersebut jelas membuktikan siapa yang memerlukan siapa pada ketika itu.
“Ketika beliau hendak menghadap Tuanku, siapa yang mengiringi beliau? Beliau diiringi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menghadap di Istana Kedah di Kuala Lumpur. Saya tahu kerana ayah saya ketika itu masih memegang jawatan berkaitan.
“Ini bukan cerita rekaan. Ini adalah sejarah yang mempunyai fakta. Boleh ditanya kepada mereka yang masih hidup hingga hari ini. Jadi apabila hari ini ada yang mengatakan UMNO hanya hadir ketika lemah, elok kita tanya kembali siapa sebenarnya yang memerlukan siapa?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa perkara tersebut menunjukkan dengan jelas sikap oportunis Pas dalam politik.
“Jangan kerana sudah berasa kuat, sejarah diubah mengikut keselesaan sendiri. Ini bermakna menipu para penyokong yang setiap hari menyokong beliau. Para penyokong ini tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang dipermainkan oleh Sanusi.
“Ketika susah, mencari kawan. Apabila sudah senang, kawan ditinggalkan. Inilah sikap Datuk Seri Sanusi. Ini bukan prinsip perjuangan. Ini bukan politik yang kita bawa selama ini. Ini adalah sikap oportunis dalam politik. Inilah Pas, inilah Datuk Seri Sanusi,” katanya lagi.
Pada Jumaat, media melaporkan Sanusi mendakwa sikap UMNO yang hanya cenderung bekerjasama ketika lemah, namun meninggalkan rakan apabila kembali kuat perlu dijadikan pengajaran.
Beliau berkata demikian merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan dan Pelancaran Jentera pilihan raya Pas kawasan Alor Setar, Kedah pada Khamis. – UMNO Online
