Hina Sultan Selangor Perlu Tindakan Paling Tegas, Tiada Ruang Toleransi – Megat Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 27 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin membidas tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata perbuatan jijik ini bukan sekadar menghina peribadi Baginda, malah merupakan penghinaan terbuka terhadap institusi Kesultanan Selangor yang merupakan lambang kedaulatan negeri.
“Tindakan biadab seperti ini jelas menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan langsung tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.
“UMNO Selangor menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi. Tiada ruang toleransi terhadap penghinaan seumpama ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Megat Zulkarnain dalam pada itu memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis dan mendesak agar siasatan segera dijalankan supaya pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Malah beliau turut memohon Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta semua agensi penguatkuasaan bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.
“Jangan sesekali ada pihak menyangka penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor boleh dipandang ringan atau dilepaskan begitu sahaja. Rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan maruah negeri ini,” ujar beliau. – UMNO Online
