UMNO Catat 11,077 Ahli Baharu Dalam Tempoh Empat Hari
KUALA LUMPUR, 25 April – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keahlian UMNO baharu meningkat ke angka 11,077 sejak diperkenalkan pendaftaran secara atas talian pada Isnin lalu.
Katanya dalam satu hantaran di Facebook dan Threads, jumlah tersebut diperolehi setakat pukul 8.15 malam tadi.

“Hampir 70 peratus adalah anak-anak muda. Negeri tertinggi yang dicatatkan adalah Johor.
“Terima kasih dan selamat datang ke keluarga besar UMNO sebuah Rumah Bangsa untuk terus memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tahanair,” ujarnya.
Dr Asyraf juga berkongsi grafik statistik jumlah keahlian yang mendaftar atas talian.
Kedua tertinggi adalah negeri Pahang, diikuti ketiga Perak, keempat Kelantan dan kelima Selangor.
Dalam pada itu, Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut bertanya kepada pelayar maya di media sosialnya faktor utama mereka menjadi ahli UMNO.
“Boleh tak saya nak tahu apa sebab utama saudara dan saudari mendaftar ahli UMNO?,” soalnya.
Dalam platform Threads, ada yang berkata mereka mempercayai pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mengemudi dan memacu negara serta membawa keharmonian rakyat.
Begitu juga Dr Asyraf menjawab soalan netizen di Facebook yang menggunakan nama Khairul Affendi mengenai kesahihan pemohon.
“Semua kena buat imbasan muka selepas buat imbasan kad pengenalan masing-masing,” ujar Dr Asyraf.
Berikut merupakan pautan laman web bagi mereka yang mahu mendaftar ahli secara atas talian.
https://myumno.org/
Sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80, ahli juga boleh mendapatkan kad keahlian secara percuma di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei nanti.
Turut disediakan pilihan kad dengan kemudahan Touch ‘n Go dengan bayaran minimum.
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat minggu lalu di Melaka telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian. – UMNO ONLINE
