Isu Penternakan Babi Bukan Soal Teknologi, Tapi Sensitiviti Rakyat
SELANGOR, 24 April – Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor, Shah Zanuriman, mengkritik kenyataan Naib Ketua Dapsy Selangor berhubung isu pertanian moden, khususnya melibatkan penternakan babi, yang didakwa telah disalah tafsir oleh pihak berkenaan.
Menurut beliau, tindakan melabel pihak yang tidak bersetuju sebagai anti-teknologi menunjukkan kegagalan memahami realiti dan sensitiviti masyarakat setempat.
“Isu ini dipertikaikan bukan sebab teknologi, tetapi kerana mereka gagal faham bahawa ada perkara yang melibatkan sensitiviti masyarakat, realiti negeri dan keutamaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shah Zanuriman turut menegaskan bahawa pendekatan melabel pihak lain sebagai kolot atau tidak moden adalah hujah yang tidak matang dan tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
“Kalau semua benda boleh selesai dengan label moden, banjir dah lama selesai, jalan rosak dah lama selesai dan harga barang dah lama turun,” tambah beliau.
Beliau juga mendakwa bahawa kenyataan Dapsy Selangor yang menuduh pihak lain memainkan sentimen kaum dan agama adalah satu bentuk alasan apabila hujah tidak lagi kukuh.
“Memahami sensitiviti masyarakat bukan bermain sentimen. Itu namanya faham negara sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa rakyat kini lebih terkesan dengan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keperluan asas berbanding perdebatan politik yang dianggap tidak mendesak.
“Rakyat sekarang sedang fikir macam mana nak isi minyak, bayar rumah, cari kerja dan hadap kos hidup. Mereka perlukan penyelesaian, bukan syarahan politik,” katanya lagi.
Beliau menutup kenyataan dengan menyeru agar semua pihak memberi fokus kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar retorik politik.
“Kalau nak jadi pemimpin, guna akal dulu. Baru rakyat hormat,” tegasnya. – UMNO Online
