Alhamdulillah…Trend Positif Pendaftaran Online UMNO…Paparkan Keyakinan Rakyat – Najib
KUALA LUMPUR, 24 April — Sambutan memberangsangkan terhadap pendaftaran ahli UMNO secara dalam talian mencerminkan parti itu terus berada di landasan perjuangannya dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata, pendaftaran yang mula dibuka beberapa hari lalu telah mencatatkan angka penyertaan yang amat positif, sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat terhadap peranan UMNO terus kukuh.
Beliau berkata kemudahan pendaftaran secara digital melalui laman sesawang rasmi parti itu bukan sahaja mempermudah proses keahlian, malah berjaya menarik minat lebih ramai golongan muda untuk bersama-sama menyumbang dalam perjuangan parti.
“Perkembangan ini amat menggalakkan, khususnya apabila kita melihat peningkatan penyertaan anak muda yang mahu terlibat secara langsung dalam arus politik dan pembangunan negara,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut beliau, pendekatan lebih inklusif dan mesra teknologi yang dibawa UMNO kini menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula parti, selari dengan aspirasi generasi baharu yang mahukan platform lebih mudah, pantas dan telus.
Dalam masa sama, orang ramai dialu-alukan untuk mendaftar sebagai ahli UMNO secara dalam talian melalui laman sesawang https://myumno.org/ yang disediakan.
Sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80, kad keahlian turut ditawarkan secara percuma kepada ahli baharu di Ibu Pejabat UMNO di WTC Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei ini.
Selain itu, turut disediakan pilihan kad keahlian dengan kemudahan ‘Touch n Go’ pada bayaran minimum, sebagai usaha memperluas manfaat kepada ahli.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu isyarat positif terhadap usaha memperkukuh parti, khususnya dalam menarik lebih ramai penyertaan generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan dan kesinambungan perjuangan UMNO pada masa hadapan.
Memetik laporan UMNO-Online, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pada 22 April seramai 5,775 ahli baharu berjaya mendaftarkan diri sebagai sebahagian daripada keluarga besar UMNO melalui sistem pendaftaran atas talian yang mula dibuka pada Isnin.
Beliau mengucapkan penghargaan terhadap ahli baharu yang telah mengambil langkah menyertai UMNO dengan memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan.- UMNO Online
