Diplomasi Dan Rundingan Teras Kejayaan Malaysia Sejak Merdeka – Syed Hamid Albar
KUALA LUMPUR, 24 April — Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang bijak dalam memainkan peranan di pentas antarabangsa hasil pendekatan diplomasi dan perundingan yang konsisten diamalkan sejak sebelum merdeka.
Mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pendekatan itu menekankan kepentingan dialog terbuka, termasuk kesediaan untuk berunding dengan mana-mana pihak, walaupun berbeza pandangan, demi mencapai penyelesaian terbaik di meja rundingan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada BN Forum Ke-10 yang membawa tajuk Kesan Konflik Amerika Syarikat – Iran ke atas Malaysia, yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online.
Forum tersebut dikendalikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selaku moderator.
Barisan panel terdiri daripada tokoh berpengalaman lain termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Malaysia, Datuk Dr Rais Hussin; serta wakil International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia, Phar Kim Beng.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi turuT menyampaikan ucapan awal sebelum bermulanya forum tersebut.
Dalam konteks politik domestik, tambah Syed Hamid pendekatan kompromi atau ‘politics of compromise’ turut menjadi asas penting dalam membentuk kestabilan negara, dengan semua pihak dibawa bersama dalam proses membuat keputusan tanpa mengambil pendirian melampau.
Pendekatan inklusif itu katanya lagi bukan sahaja mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk, malah membolehkan negara mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian sosial sejak sekian lama.
“Sehubungan itu, prinsip diplomasi dan rundingan terus menjadi teras dalam menentukan hala tuju negara, khususnya dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks, di samping memastikan kepentingan nasional sentiasa terpelihara,” tambahnya. – UMNO Online
