Malaysia Perlu Kekal Berkecuali Secara Aktif Hadapi Tekanan Kuasa Besar – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 23 April – Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan berkecuali secara aktif (active neutrality) dalam mengemudi dasar luar negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan negara tidak dilihat cenderung kepada mana-mana blok kuasa besar, sekali gus memelihara kestabilan ekonomi dan kepercayaan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan terbuka.

“Dalam keadaan dunia hari ini, kita tidak boleh tergopoh-gapah dalam membuat keputusan dasar luar. Silap langkah, kita akan terperangkap dalam percaturan politik kuasa besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada BN Forum Ke-10 yang membawa tajuk Kesan Konflik Amerika Syarikat – Iran ke atas Malaysia, semalam.
Menurut Mohamad, Malaysia kini menjadi perhatian kuasa Barat dan Timur yang masing-masing berusaha menarik negara ini ke dalam pengaruh mereka, sekali gus menuntut kebijaksanaan dalam menentukan pendirian.
“Sebagai negara perdagangan, kita berurusan dengan semua pihak. Kita tidak mampu dilihat condong kepada mana-mana pihak kerana ia boleh menjejaskan ekonomi dan keyakinan rakan dagang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala yang sedia terjalin, sambil menangani sebarang isu secara berhemah agar tidak menjejaskan keseluruhan hubungan diplomatik.
Katanya, sebahagian besar hubungan Malaysia dengan negara lain berada pada tahap baik dan perlu dipelihara, manakala isu-isu kecil harus diselesaikan secara berperingkat.
Mengulas aspek keselamatan, Mohamad berkata perang bukan pilihan mudah memandangkan kosnya tinggi serta memerlukan kesiapsiagaan menyeluruh termasuk dari segi logistik dan pertahanan.
“Kalau kita tidak benar-benar bersedia, jangan bercakap soal perang. Keutamaan kita adalah diplomasi dan memperkukuh hubungan antarabangsa,” katanya.
Forum tersebut dikendalikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selaku moderator.
Barisan panel terdiri daripada tokoh berpengalaman termasuk bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Malaysia, Datuk Dr Rais Hussin; serta wakil International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia, Phar Kim Beng. – UMNO Online
