Persidangan DUN Tumpu Hala Tuju Pembangunan Negeri, Perhalusi Dasar Demi Kesejahteraan Rakyat
KUALA LUMPUR. 23 April – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan persidangan Dewan Undangan Negeri kali sebagai platform penting dalam merangka hala tuju pembangunan negeri secara menyeluruh.
Beliau yang jug Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang berkata persidangan penggal kali ini memainkan peranan besar dalam memastikan dasar dan perancangan kerajaan negeri diteruskan untuk manfaat rakyat.
“Saya menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Persidangan penggal ini amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri serta memperhalusi dasar-dasar yang menyentuh terus denyut nadi rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu Jalaluddin turut sama menyatakan komitmen berterusan dalam memastikan setiap titah panduan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan negeri.
“Kami, barisan kepimpinan negeri, komited untuk memastikan setiap titah panduan Baginda diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang membawa kemakmuran kepada seluruh warga Negeri Sembilan.
“Semoga persidangan kali ini berjalan lancar dan penuh keberkatan demi kestabilan serta kesejahteraan negeri tercinta,” ujar beliau. – UMNO Online
